Hilang kawalan punca insiden maut di Kluang


  • 112
  • Ahad, 03 Apr 2022

KEDUA-DUA mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

SEORANG lelaki dan seorang wanita maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Kluang, Sri Lalang di Kluang, Johor pada malam Sabtu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.02 malam.

Menurutnya, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

"Kedua-dua mangsa tidak tersepit, tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama di bahagian pemandu yang remuk teruk.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut," katanya pada Ahad.

Katanya, kedua-dua mangsa dikeluarkan dan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati pemandu merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun, manakala penumpang seorang wanita berumur 40-an.

"Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.30 pagi Ahad," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram