Tangkap ikan guna bateri kereta, dua beranak mati terkena renjatan elektrik di Temerloh


  • 112
  • Isnin, 04 Apr 2022

MAYAT kedua-dua mangsa ditemukan oleh penduduk kampung. — Facebook

GARA-GARA menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta ketika menangkap ikan, dua beranak berketurunan Orang Asli maut terkena renjatan elektrik di Temerloh, Pahang pada Ahad.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

"Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

"Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram