
SEORANG lelaki tiba-tiba rebah dan kemudian meninggal dunia ketika bermain bola sepak di kompleks sukan Penampang, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Mangsa berusia 57 tahun itu yang bermain sebagai penjaga gol, dikatakan tidak sedarkan diri ketika perlawanan itu sedang berlangsung sekitar pukul 6 petang.
Rakan sepasukannya yang membantu mangsa berkata, ketika itu mereka masih mengesan nadi mangsa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian melakukan rawatan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa sebelum menghantarnya ke wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Ujar Mohd Haris, punca kematian masih belum diketahui dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa ini," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram