Bedah siasat kedua sahkan ada 22 kesan luka di kaki Tangmo Nida


  • Benua
  • Jumaat, 01 Apr 2022

HASIL bedah siasat kedua oleh CIFS itu menjawab kebanyakan isu yang diketengahkan oleh ibu Tangmo Nida. — Agensi

BEDAH siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat pelakon Thailand, Nida Tangmo Patcharaveerapong atau Tangmo Nida, mengesahkan terdapat 22 kesan luka di kakinya.

Bagaimanapun, pihak pakar patologi, Institut Sains Forensik Pusat (CIFS) Kementerian Kehakiman, tidak menemui sebarang kesan gigi dan tulang yang patah atau luka di muka serta kepalanya seperti dibangkitkan oleh ibunya.

Keputusan itu didedahkan pihak CFIS pada Khamis.

Ibu kepada Tangmo Nida sebelum ini membangkitkan 11 perkara mencurigakan berhubung kematian anaknya termasuk kesan patah dan luka di beberapa bahagian badan anaknya.

Setiausaha kepada Menteri Kehakiman, Thanakrit Chit-areerat memberitahu, hasil bedah siasat kedua oleh CIFS itu menjawab kebanyakan isu yang diketengahkan oleh ibu Tangmo Nida.

Bagaimanapun, ada beberapa dakwaan yang tidak dapat disahkan berikutan keadaan mayat Tangmo Nida.

Beliau juga berkata, kebanyakan penjelasan atau penemuan berkaitan perkara yang dimaksudkan adalah secara bertulis dan diserahkan kepada ibu Tangmo Nida.

Beliau menambah, Kementerian Kehakiman telah mendapat persetujuan peguam ibu Tangmo Nida untuk mendedahkan beberapa maklumat tentang laporan bedah siasat kepada pihak media.

Timbalan Pengarah CIFS, Prof. Dr. Worawee Waiyawuth, menegaskan bahawa, bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik Hospital Besar Polis, adalah mengikut pawaian yang ditetapkan.

Katanya, bagaimanapun, bedah siasat kedua memfokuskan kepada 11 perkara yang dibangkitkan oleh ibu si mati.

Pengarah CIFS, Pol Kol Songsak Raksaksakul berkata, laporan bedah siasat telah dihantar kepada ibu Tangmo Nida, tetapi polis boleh menggunakan kuasanya di bawah undang-undang untuk meminta laporan berkenaan.

Bedah siasat kedua telah dilakukan pada 17 Mac 2022 membawa kepada beberapa penemuan termasuk:

  • Tiada kesan luka di kepala.
  • Tiada luka ditemui di muka.
  • Tiada luka di leher yang mungkin menunjukkan pencekikan.
  • Luka melecur di dada diperiksa.
  • Laporan mengenai 22 luka pada kaki dan luka pada sendi boleh lipat telah dibuat.
  • Tiada luka ditemui di belakang si mati.
  • Laporan pemeriksaan rongga dan kemaluan si mati telah dibuat.
  • Kuku jari dipotong untuk pemeriksaan semula.
  • Pakaian yang dipakai oleh si mati semasa bedah siasat kedua berbeza daripada pakaian yang dipakai pada hari kematiannya.

Peguam, Decha Kittivittayanan berkata, beliau akan berunding dengan polis yang mengendalikan kes mengenai penemuan bedah siasat, sama ada ia berguna kepada kes itu atau tidak.

Katanya lagi, keputusan bedah siasat kedua tidak mengandungi perkara yang signifikan berbanding keputusan yang pertama, kecuali 22 luka kecil yang ditemui di kaki, yang mana ia perlu dirujuk kepada pakar forensik tentang puncanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram