SUD bukan luar biasa di Asia, doktor syak Beam Papangkorn meninggal akibat serangan jantung


  • Benua
  • Jumaat, 25 Mac 2022

PAPANGKORN meninggal dunia pada usia 25 tahun. — Agensi

PADA Khamis, industri hiburan Thailand sekali lagi diisi dengan khabar duka dengan kematian aktor kacak, Beam Papangkorn yang meninggal dunia ketika tidur.

Kematian Papangkorn atau nama sebenarnya Paphangkon Rikchelimpho, hanya sebulan selepas pemergian aktres Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong yang maut akibat terjatuh daripada bot di Sungai Chao Phraya.

Punca kematian Papangkorn masih belum diketahui namun media tempatan melaporkan bahawa mendiang meninggal dunia ketika tidur.

"Ketika ibunya mahu membangunkan Papangkorn, dia tidak memberikan sebarang respons sama sekali dan kelihatan tidak bernafas.

"Melihat keadaannya itu, dia segera dibawa ke hospital," lapor Bangkok Post.

Penyebab kematian Papangkorn tidak dedahkan kepada masyarakat umum.

Begitupun, seorang pengamal perubatan di Hospital Siriraj, Manop Pithukpakorn memaklumkan bahawa kematian mengejut yang tidak dapat dijelaskan (sudden unexplained death) (SUD) bukanlah sesuatu yang luar biasa di Asia.

Kematian mengejut, kata Pithukpakorn di akaun Facebook miliknya, lebih kerap terjadi kepada golongan lelaki muda.

"Salah satu penyebab ialah serangan jantung (aritmia malignan) yang merupakan sebahagian daripada penyakit genetik," tulisnya.

Sehari sebelum kematian, Papangkorn ada memuat naik gambar di Instagram menunjukkan dia sempat bermain bola sepak.

Setakat artikel ini diterbitkan, punca sebenar kematian aktor berusia 25 tahun itu tidak diketahui.

Pihak keluarganya pada petang Khamis dilaporkan masih menunggu hasil bedah siasat atau keputusan autopsi terhadap mayat Papangkorn.

Sementara itu, tambah Pithukpakorn, bedah siasat molekular boleh membantu menentukan punca kematian SUD.

Autopsi molekular termasuklah analisis genetik dalam pemeriksaan bedah siasat itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram