Peserta ekspedisi mendaki Gunung Tahan cirit-birit, lemah, habis tenaga sebelum meninggal dunia


  • 112
  • Rabu, 16 Mac 2022

MAYAT mangsa dibawa turun menggunakan helikopter polis dan tiba di padang awam Kuala Lipis kira-kira jam 2.45 petang sebelum dihantar ke Hospital Lipis. — Sinar Harian

SEORANG pendaki Gunung Tahan, Pahang disahkan meninggal dunia pada Rabu, selepas didakwa tidak sihat dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya, Selangor difahamkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari, kira-kira 13 kilometer dari pintu masuk Kuala Juram yang merupakan lokasi permulaan pendakian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga difahamkan menyertai pendakian itu bersama 11 rakan dari Selangor pada Sabtu lalu bersama dua malim gunung.

"Kumpulan tersebut dijangka kembali ke pintu masuk Gunung Tahan di Kuala Juram hari ini (Rabu) namun mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun kira-kira 13 kilometer dari lokasi itu.

"Keterangan awal malim gunung mendakwa mangsa mulai lemah selepas mengalami cirit-birit selama dua hari menyebabkan dia tidak mampu untuk makan semasa mereka dalam perjalanan turun.

"Keadaan itu menyebabkan mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sekitar pagi tadi bagi meminta bantuan selepas mangsa kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.45 pagi dari pihak bomba.

"Rakan mangsa menghubungi pihak bomba untuk bantuan menyelamat ekoran keadaan lelaki tersebut yang ketika itu berada dalam keadaan terlalu lemah.

"Susulan maklumat itu, operasi menyelamat segera digerakkan bersama pihak bomba dan Perhilitan dengan kekuatan 12 anggota termasuk pegawai selain dibantu dua malim gunung," katanya.

Tambah Azri, pihaknya segera membuat permohonan bagi mendapatkan helikopter polis untuk membawa mangsa turun, namun difahamkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dibawa turun menggunakan helikopter polis dan tiba di padang awam Kuala Lipis kira-kira jam 2.45 petang sebelum dihantar ke Hospital Lipis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram