Pengasuh warga asing dera budak bakal didakwa di mahkamah George Town


  • 112
  • Rabu, 16 Mac 2022

TANGKAP layar video tular yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh menampar muka seorang bayi selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju.

POLIS telah melengkapkan siasatan berhubung seorang wanita warga asing yang dikatakan mendera kanak-kanak, dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk proses pertuduhan di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian dalam paparan video yang ditular dalam media sosial baru-baru ini melibatkan wanita berkenaan, sebenarnya berlaku pada Disember tahun lalu dan suspek telahpun ditahan polis.

Beliau berkata, polis telah menahan wanita yang berumur 53 tahun itu pada 8 Disember lalu, iaitu sehari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan kanak-kanak dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana suspek tiada dokumen perjalanan yang sah. Suspek dijangka dituduh selepas mendapat kebenaran pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya di George Town pada Rabu.

Katanya, berdasarkan laporan, kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Persiaran Minden, Gelugor, dan suspek dikatakan telah mendera empat kanak-kanak di bawah jagaannya.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh yang menampar muka seorang bayi yang sedang menangis berulang kali selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram