Robert akhirnya mengaku tak pandai bawa bot, sebabkan kematian Tangmo — Polis


  • Benua
  • Rabu, 09 Mac 2022

POLIS membawa Robert untuk melakonkan semula perjalanan bot laju yang mengakibatkan kematian Tangmo di Sungai Chao Phraya. — Agensi

SALAH seorang daripada lima sekawan yang menaiki bot laju bersama mendiang pelakon Thailand, Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong mengaku mengakibatkan bot itu tersentak sekali gus menyebabkan Tangmo terhumban ke Sungai Chao Phraya hingga mengakibatkan kematiannya, kata polis pada Selasa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Mejar Jeneral Udorn Yomcharoen berkata, Phaiboon 'Robert' Trikanjananun memaklumkan kepada penyiasat bahawa dia tidak berapa pandai mengendalikan bot dan teringin untuk memandunya pada malam kejadian (24 Februari lalu).

Pada malam itu, dia dan lima individu lain, termasuk Tangmo menaiki bot laju milik persendirian di Sungai Chao Phraya.

"Ketika Robert mengendalikan stereng bot, Tangmo, 37, terjatuh ke dalam sungai akibat bot itu tersentak secara tiba-tiba ketika dia hendak bangun dari bahagian kiri belakang kenderaan terbabit," kata Udorn memetik keterangan Robert.

Beliau berkata, polis perlu menunggu kira-kira seminggu dari sekarang untuk keputusan pemeriksaan forensik lanjut bagi menentukan punca luka dalam pada paha kiri Tangmo.

Menurut Udorn, hasil keputusan itu mungkin membawa kepada pertuduhan lain.

Katanya lagi, kelima-lima individu yang menaiki bot laju itu juga mengakui mereka sedang minum minuman keras pada malam kejadian.

Buat masa ini, Robert dan pemilik bot Tanupat 'Por' Lerttaweewit berdepan pertuduhan mengendalikan kapal tidak berlesen dan kecuaian yang membawa kepada kematian.

Anna mendakwa, Tangmo tidak pernah menggunakan dadah atau dibayar untuk 'melayan' mana-mana VVIP. — Agensi

Sebelum ini, timbul dakwaan kononnya Tangmo 'dijual' oleh pengurusnya, Idsarin 'Gatick' Juthasuksawat kepada seorang orang kenamaan (VVIP) iaitu Satitpong Sukvimol yang juga merupakan orang kanan tentera Thailand.

Namun disebabkan Tangmo dikatakan enggan melayannya dan khuatir rahsianya terbongkar, maka Tangmo telah 'ditahan' untuk menutup mulut hingga kes tersebut menjadi kes pembunuhan.

Seorang rakan karib Tangmo, Warinthorn Watsang (Anna TVpool) seperti laporan Bangkok Post mendakwa, Tangmo tidak pernah menggunakan dadah selain tidak pernah menerima sebarang bayaran untuk 'melayan' mana-mana VVIP.

Terdahulu, Jurucakap Polis Diraja Thailand, Mejar Jeneral Yingyos Thepjamnong berkata, bukti sedia ada dan keterangan saksi menunjukkan kematian aktres itu berpunca daripada kecuaian dan bukannya pembunuhan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram