PEMINAT dan pemerhati yang mengikuti kes kematian aktres Thailand, Nida Patcharaveerapong atau lebih popular sebagai Tangmo Nida secara dekat, kini melepaskan rasa marah serta kecewa dengan ibu mendiang.
Ini selepas wanita itu, Panida Siriyudthayothin menerima sejumlah 30 juta baht (kira-kira RM3.8 juta) sebagai pampasan daripada individu yang dikaitkan dengan kematian anaknya.
Seorang peguam, Sittra Biabungkerd dengan nada berkias berkata, apa yang berlaku telah menjadi sentimen kepada masyarakat.
"Saya berasa sedih untuk Tangmo Nida. Ada sesiapa tak yang pernah ikhlas mencintainya tanpa sebarang faedah?
"Walaupun selepas dia meninggal dunia, masih ada orang yang ingin mendapatkan sesuatu daripada kematiannya," katanya.
Bangkok Post pada Jumaat melaporkan, Panida ketika temubual dalam satu rancangan TV Thailand, Channel 3, berkata, dia memaafkan pemilik bot laju Tanupat 'Por' Lerttaweewit dan pemandu bot Phaiboon 'Robert' Trikanjananun.
Panida bagaimanapun berkata, dia tidak memaafkan rakan Tangmo yang lain termasuk pengurus mendiang, Idsarin 'Gatick' Juthasuksawat.
Dia dalam pada itu berkata, akan menerima pampasan daripada Por yang berjanji memberikannya sejumlah besar wang.
"Dia memberitahu saya untuk mengira pendapatan Tangmo Jika Tangmo menerima tawaran berlakon dengan harga 800,000 hingga 1 juta baht setiap siri,
"Jika dia masih hidup selama 30 tahun lagi, dia mungkin akan mendapat lebih daripada jumlah itu," kata Panida menerusi laporan Coconuts.co.
Dengan apa yang terjadi, sistem keadilan secara tradisinya mengambil pandangan baik terhadap kedua-dua belah pihak yang mencapai persetujuan dalam bentuk penyelesaian.
Bagaimanapun, sudah tentu, ramai tidak berpuas hati dengan keputusan sedemikian dan mempertikaikan apa yang sudah terjadi kepada sistem keadilan yang sepatutnya membela hak si mati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram