Lelaki terjun perigi selepas bunuh isteri guna tong gas


  • Benua
  • Khamis, 03 Mac 2022

TONG gas seberat tiga kilogram digunakan seorang suami untuk memukul kepala isterinya. — Gambar hiasan

MISTERI kematian suami isteri di Klapanunggal, Kabupaten Bogor, Indonesia pada bulan lalu akhirnya terjawab.

Pihak polis berkata, lelaki tersebut dikenali sebagai HR, 53, dipercayai membunuh diri selepas membunuh isterinya yang hanya dinamakan sebagai K, 50, yang ditemui berlumuran darah pada 18 Februari lalu.

Dua hari selepas itu, HR ditemui meninggal dunia di perigi rumahnya ketika pihak polis sedang melakukan siasatan kematian K.

Ketua Polis Bogor, Iman Imanuddin berkata, pihaknya turut mengambil keterangan beberapa saksi dan mendapati HR membunuh diri apabila terjun ke dalam perigi selepas membunuh isterinya.

"Kami mendapati sememangnya tiada siapa selain suami dan isteri itu di tempat kejadian. Jadi, kami mengesyaki suaminya membunuh diri selepas membunuh isterinya," katanya.

Pada masa sama, polis mendapati lelaki tersebut membunuh isterinya menggunakan tong gas selepas kesan darah ditemui pada alat memasak itu.

"Ada tong gas dan ada darah di situ. Kami percaya ia digunakan untuk memukul kepala mangsa," tambah Iman.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bogor, Asisten Komisioner Siswo Tarigan berkata, wanita tersebut meninggal dunia akibat terkena objek tumpul di kepalanya.

"Kita dapati silinder LPG 3 kilogram itu masih berlumuran darah," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tong gas, perigi, suami isteri, bunuh, Indonesia