Buat apa saya nak pengsan 'olok-olok' — Roslan Shah


  • Hiburan
  • Khamis, 03 Mac 2022

ROSLAN tidak menyangka bahawa 'insiden pengsan' boleh menjadi tular sehingga ke Singapura dan Brunei. — The Star

BARU sahaja keluar daripada hospital, selebriti, Roslan Shah terkejut apabila kejadian dirinya rebah semasa rakaman siaran langsung Wanita Hari Ini (WHI) baru-baru ini sebagai lakonan dan teknik pemasaran.

Menurutnya yang mesra disapa Cik Lan, apa yang berlaku bukan 'olok-olok' dan doktor juga mengesahkan bahawa tekanan darahnya memang tinggi.

"Buat apa Cik Lan nak menipu, apa keuntungan yang Cik Lan dapat, perkara ini hanya memalukan dan menyusahkan bukan sahaja orang lain tetapi diri sendiri yang perlu tanggung kos bil perubatan.

"Jika ia teknik pemasaran, apa yang saya niagakan, saya pun tidak sangka ia akan berlaku.

"Saya sebenarnya sebelum ke set sudah rasa mahu demam selepas terkena hujan dua hari sebelum kejadian dan semasa di set, Cik Lan batuk, tersedak dan terus pitam," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, ramai yang pernah bekerja dengannya dan tahu bahawa dia bukan individu yang mahu ambil kesempatan untuk meraih publisiti sedemikian rupa.

Katanya lagi, dia tidak menyangka bahawa 'insiden pengsan' boleh menjadi tular sehingga ke Singapura dan Brunei.

Sementara itu, Cik Lan turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya susulan kejadian tersebut.

Kongsinya, dia menerima lebih 5,000 mesej di platform media sosial dan aplikasi chat yang turut bertanya khabar serta perkembangan terkininya.

"Saya terharu ramai peminat, rakan artis yang menghubungi saya, malah ada juga yang mengirimkan buah tangan.

"Perkara yang berlaku bukan benda yang boleh dibuat main-main dan terima kasih kepada mereka yang mendoakan. Alhamdulillah, kesihatan Cik Lan semakin baik," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Cik Lan, RoslaN Shah, Pengsan, lakonan, tipu, TV3, WHI, hospital