Terperangkap 'jem' 12 jam hingga alami dehidrasi


  • Benua
  • Selasa, 01 Mac 2022

KEADAAN kenderaan yang terperangkap kesesakan lalu lintas luar biasa ketika melalui laluan ke Puncak di Ciawi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat pada Ahad lepas. — Agensi

KESESAKAN lalu lintas luar biasa dilaporkan kembali berlaku di laluan Puncak, Bogor, Jawa Barat, Indonesia hingga menyebabkan ramai pengguna jalan raya terperangkap selama berbelas-belas jam.

Salah seorang daripada mereka ialah Ayy Indri, 25, yang terperangkap dalam kesesakan jalan selama 12 jam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah ibu bapanya.

Lebih malang, dia mengalami dehidrasi berikutan gerai-gerai jualan di sepanjang jalan Jalan Puncak Bogor ditutup.

"Saya bertolak dari Jakarta kira-kira jam 6.30 petang Ahad. Rancangannya ialah nak balik rumah mak ayah sebab kebetulan rumah mereka di Puncak,” kata Indri seperti dipetik portal Detik.com.

Dalam perjalanan itu, Indri berkata, dia sengaja memilih untuk keluar dari Tol Ciawi melalui jalan kampung bagi mengelak kesesakan lalu lintas, namun rancangannya tidak berjaya.

Ini kerana kereta yang dinaikinya tidak bergerak langsung selama lima jam selepas keluar dari Tol Ciawi ke Puncak.

"Saya sengaja keluar dari Tol Ciawi kerana memilih untuk melalui jalan kampung apabila keluar dari Tol Ciawi. Ternyata arah ke jalan kampung tersekat selama 5 jam sehingga saya masuk ke jalan kampung," katanya.

"Lebih kurang 12 jam terperangkap dalam kesesakan. Saya tiba di destinasi sekitar jam 7.49 pagi Isnin," katanya.

kepadatan-kendaraan-di-jalur-wisata-puncak-3_169

KEADAAN kenderaan yang terperangkap kesesakan lalu lintas luar biasa ketika melalui laluan ke Puncak di Ciawi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat pada Ahad lepas. — Agensi

Indri mengakui itu kali pertama dia berada dalam kesesakan jalan raya yang teruk dan terperangkap selama berbelas jam ke kawasan yang juga merupakan destinasi pelancongan itu.

"Pelbagai perasaan bercampur-baur...rasa kesal, marah, lapar hingga mengantuk sepanjang perjalanan," luahnya.

Indri meminta kerajaan mengetatkan peraturan semasa cuti panjang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sedemikian daripada berulang.

“Pesan saya, sebagai anak jati Puncak, laluan kenderaan keluar masuk boleh dibuat secara lebih teratur pada hujung minggu.

"Saya bukan mahu bercuti tetapi pulang ke kampung," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram