INDONESIA memutuskan untuk melaksanakan kuarantin selama tiga hari kepada pelancong asing yang lengkap dua suntikan vaksin dan dos penggalak Covid-19 bermula 1 Mac.
Selain itu, kerajaan Indonesia juga merancang untuk menguji peraturan yang membenarkan pelancong asing memasuki negara tersebut tanpa perlu menjalani kuarantin.
Pelan berkenaan dicadangkan oleh Menteri Koordinator untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat penilian berhubung pelaksanaan sekatan aktiviti komuniti pada Ahad lalu.
"Selepas mendengar input pakar dan menganalisis data sedia ada, kerajaan akan melaksanakan kuarantin selama tiga hari bagi pelancong asing yang lengkap dua suntikan vaksin dan dos penggalak bermula 1 Mac," katanya.
Menurut Luhut, percubaan untuk membenarkan pelancong asing masuk ke negara itu tanpa menjalani kuarantin bakal dilaksanakan pada 14 Mac.
Kerajaan Indonesia memilih Bali sebagai lokasi untuk menguji polisi berkenaan.
"Kita boleh mempercepatkan tarikh itu sekiranya data kes Covid-19 bertambah baik pada minggu hadapan kerana kami melihat angka kes di Bali bertambah baik," menurutnya.
Namun Luhut berkata, pelaksaanan kuarantin selama tiga hari buat pelancong asing tidak tertakluk kepada semua orang dan perlu mematuhi syarat ditetapkan.
"Syarat pertama adalah pelancong perlu menunjukkan bukti pembayaran tempahan hotel sekurang-kurangnya empat hari.
"Kedua, mereka perlu memberi bukti sudah lengkap dos vaksinasi atau dos penggalak.
"Syarat ketiga, pelancong asing perlu menjalankan ujian PCR dan menunggu keputusan dalam bilik hotel sehinggalah keputusan negatif dikeluarkan.
"Sekiranya ujian menunjukkan keputusan negatif, pelancong boleh melakukan aktiviti mereka dengan mematuhi protokol kesihatan," katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram