BANJIR di Terengganu meragut nyawa kedua apabila seorang lelaki warga emas ditemukan lemas kira-kira 50 meter dari Balai Polis Pasir Gajah, Chukai pada 10.15 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata, Rahim Deraman, 69, dipercayai lemas semasa mengharungi air banjir, sebelum ditemukan dalam keadaan terapung di sebuah parit oleh orang kampung.
"Mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Gajah di Chukai tinggal seorang diri di rumah kerana lima anaknya tinggal di luar.
"Semasa banjir semalam, seorang anak mangsa menghubungi jiran meminta tolong untuk melihatkan keadaan ayahnya. Namun mangsa gagal dikesan dan disedari hilang selepas waktu Maghrib,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kawasan mangsa ditemui itu dinaiki air sedalam dua meter.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, katanya.
Pada Selasa, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru di Kemaman kira-kira 3 petang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram