Jiran tikam punggung warga emas gara-gara ejek menyanyi


  • Benua
  • Sabtu, 26 Feb 2022

MANGSA ditikam di punggung, bahagian leher dan pelipis sebelah kanan serta hidung. — Gambar hiasan

GARA-GARA tersinggung kerana ditertawakan ketika menyanyi, seorang lelaki di daerah Wajo, Sulawesi Selatan, Indonesia tergamak menikam jirannya dengan pisau.

Insiden yang menimpa mangsa bernama Hartono, 55, terjadi di sebuah kafe di Jalan Jendral Sudirman, pada Isnin (21 Februari 2022).

Ketua Polis Daerah Wajo, Ajun Komisaris Besar Polisi, Muhammad Islam berkata, ia bermula apabila suspek sedang menyanyi sebelum diejek dan diketawakan mangsa.

“Suspek yang berasa malu dan tersinggung mengambil pisau dapur dan mengejar mangsa sebelum menikam bahagian punggung belakangnya.

"Dia turut mencederakan mangsa di bahagian leher dan pelipis sebelah kanan serta hidung,” katanya seperti Detik.com pada Jumaat.

Menurut Muhammad Islam, mangsa yang juga jiran suspek segera dikejarkan ke Hospital Lamaddukelleng, Sengkang bagi menerima rawatan lanjut.

"Menurut maklumat yang diperoleh melalui siasatan di tempat kejadian, suspek merupakan jiran mangsa.

"Suspek juga dikatakan mengalami gangguan mental, jadi dia dihantar ke sebuah hospital sakit jiwa di Makassar untuk diberi ubat penenang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram