GARA-GARA tidak berpuas hati dengan tindakan jiran menjual burung peliharaan kerana gagal membayar hutang berjumlah 120,000 rupiah (RM35), seorang pengganggur tergamak merogol dan membunuh anak jirannya itu.
Dalam kejadian di Desa Ambarawang, Samboja, Kalimantan Timur, Indonesia pada Ahad (20 Februari 2022), suspek telah memukul dan merogol sebelum membuang mayat ke dalam parit.
Mayat remaja malang berusia 14 tahun itu kemudian ditanam suspek di kawasan kebun pisang di desa tersebut.
Ketua Polis Daerah Samboja, Ajun Komisaris Adyama Baruna Pratama berkata, motif pembunuhan itu angkara dendam suspek terhadap ayah mangsa yang telah menjual burung walit peliharaannya.
"Suspek berhutang RM35 dengan ayah mangsa namun gagal membayarnya. Disebabkan itu, ayah mangsa menjual burung peliharaan suspek yang berusia 37 tahun," katanya seperti dipetik portal Merdeka.com.
Adyama berkata, pada Ahad, suspek terserempak dengan mangsa ketika gadis itu ke kedai membeli telur sebelum mengekorinya pulang.
Menurutnya, suspek kemudian memukul mangsa sebanyak dua kali dengan kayu di bahagian kepala dan lengan hingga mengakibatkan mangsa pengsan di tempat kejadian.
"Menyangkakan mangsa tidak bernyawa, suspek membuangnya ke dalam parit sedalam 2 meter. Ketika itu, suspek ternampak mangsa tersedar.
"Suspek kemudian melampiaskan nafsu terhadap mangsa di dalam parit tersebut. Ketika itu, mangsa sudah tidak bernyawa," kata Adyama.
Lebih menyedihkan, Adyama berkata, suspek kembali ke kedai untuk merokok dan minum kopi selepas merogol mangsa.
"Selepas itu, barulah dia memindahkan mangsa dari parit ke kawasan kebun yang jaraknya kira-kira 15 meter.
"Mangsa ditanam di dalam lubang yang sudah digali sebelum ditimbus dengan tanah bercampur lumpur dan batu-batuan besar.
"Ketika mangsa dilaporkan hilang, suspek berpura-pura ikut sama orang kampung mencari mangsa," katanya.
Tambahnya, kerana panik, dia menuju ke lokasi mangsa ditanam sebelum mengaku merogol dan membunuh mangsa. Lelaki itu kini ditahan di Balai Polis Samboja untuk didakwa di mahkamah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram