Liang lahad terbiar, pesakit Covid-19 rupanya masih bernyawa


  • Benua
  • Ahad, 20 Feb 2022

LIANG lahad berkenaan dibiarkan begitu sahaja selepas mengetahui Trisno tidak meninggal dunia. — Gambar hiasan/Agensi

KOMUNITI Bantul di Yogyakarta, Indonesia dilaporkan bersedih dengan 'kematian' seorang penduduknya yang dikenali sebagai Trisno Diarjo.

Terdahulu, penduduk Padukuhan Ngambah, Kalurahan Mulyodadi, Kapanewon Bambanglipuro, Bantul dimaklumkan tentang 'kematian' Trisno menerusi anaknya.

Jiran yang menerima perkhabaran itu kemudiannya melaporkan kepada ketua rukun tetangga setempat.

Trisno dikatakan akan dikebumikan mengikut protokol kesihatan kerana dia disahkan positif Covid-19.

Namun, para penduduk berasa hairan kerana 'jenazah' itu tidak tiba dan mereka gagal menghubungi anak Trisno.

Mereka bagaimanapun memutuskan untuk berkumpul semula di kawasan perkuburan selepas solat Subuh.

Penduduk setempat meneruskan kerja menggali liang lahad untuk Trisno sambil menunggu ketibaan 'jenazahnya'.

Ketika liang lahad itu hampir disiapkan, para penduduk menerima perkhabaran bahawa Trisno sebenarnya masih hidup dan hanya disahkan positif Covid-19.

"Jadi anak kepada Trisno memberitahu penduduk bahawa bapanya tidak meninggal dunia tetapi disahkan positif Covid-19," kata salah seorang penduduk, Satri Bujono.

Para penduduk nyata berang dengan perkhabaran terbaharu itu, lantas membiarkan liang lahad berkenaan dalam keadaan 'separuh siap'.

Sementara itu, ketua kampung Mulyodadi, Ari Sapto Nugroho mengesahkan maklumat tentang Trisno yang disahkan positif Covid-19. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram