MASYARAKAT diingatkan supaya bersedia apabila lebih banyak barang akan dinaikkan harga beberapa bulan akan datang berikutan peningkatan harga kacang soya di peringkat global.
Peningkatan harga itu akan memberi impak kepada harga tauhu dan tempe secara khusus.
Negara Indonesia contohnya yang bergantung kepada produk kacang soya import akan berdepan lonjakan harga mencecah 11,240 rupiah (RM3.29) per kilogram (kg) di peringkat pengimport domestik.
Ketua Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Indonesia, Oke Nurwan berkata, jika harga kacang soya global melonjak, sudah pasti harga produk terbitan kacang soya juga akan meningkat.
"Ini tidak terkecuali tauhu dan tempe yang merupakan makanan kegemaran masyarakat di negara ini.
“Perlu saya katakan kerana kebergantungan kepada harga kacang soya dunia sudah tentu akan memberi kesan kepada harga kacang soya domestik.
"Pembuat tauhu dan tempe ini terpaksa membeli kacang soya dengan harga yang tinggi dan sudah tentu ini akan menjejaskan harga produk kacang soya itu,” katanya pada Jumaat seperti dipetik portal Detik.com.
Harga kacang soya pada minggu pertama Februari 2022 mencapai AS$15.77 (RM66.07) per gantang (1 gantang = 27.2 kg).
Kenaikan harga kacang soya dianggarkan mencapai kemuncaknya pada bulan Mei dengan harga mencecah AS$15.79 (RM66.15) setiap gantang.
Harga dijangka akan turun sehingga Julai, tetapi masih agak tinggi atau sekitar AS$15.74 (RM65.94) setiap gantang.
Untuk itu dianggarkan harga kacang soya akan berada pada paras kira-kira sekitar RM3.36 hingga RM3.51 per kg bagi tempoh beberapa bulan akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram