SISA makanan yang diletakkan di luar tong sampah 'mengundang' babi hutan ke estet-estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang, Singapura, demikian menurut Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES).
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama ACRES, Anbarasi Boopal berkata, kumpulan pemuliharaan haiwan itu menerima sebanyak sembilan panggilan daripada orang ramai yang mengatakan mereka ternampak babi hutan yang menggeledah sisa makanan yang ditinggalkan di luar tong-tong sampah di Petir Road, Segar Road dan Pending Road.
"Berdasarkan rakaman video, kami mendapati sisa makanan sentiasa kelihatan di luar tong-tong sampah itu, yang boleh mengundang haiwan terbiar dan hidupan liar keluar dari habitatnya ke kawasan manusia," katanya kepada Mediacorp seperti dipetik portal Channel News Asia.
Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak majlis bandaran, yang meningkatkan kekerapan pembersihan sampah selain Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Lembaga Taman Negara (NParks).
"Kita dapati masih ada segelintir penduduk tidak membuang sampah dengan betul, yang terus mengundang babi hutan itu. Insiden sebegini berlaku antara Disember 2020 hingga Oktober 2021," katanya.
Anbarasi turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi babi hutan jika mereka ternampak haiwan itu dan mengelakkan daripada membuat pergerakan mengejut yang boleh menakutkan haiwan tersebut.
"Pendekatan holistik jangka panjang adalah untuk memberi tumpuan kepada langkah-langkah pengurusan sampah yang betul dan mampan dan pendidikan intensif bagi para penduduk," katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram