Pengemis warga asing kaut untung lebih RM100 sehari


  • Massa
  • Rabu, 16 Feb 2022

KANAK-KANAK warga Rohingya turut aktif terlibat dalam aktiviti mengemis di sekitar ibu kota. — AZHAR MAHFOF/The Star

KERJA senang, dengan hanya menjadi tukang pimpin atau penarik mengurus pergerakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang mengemis di sekitar ibu kota, warga asing mampu memperoleh untung lumayan sehingga lebih RM2,000 sebulan.

Seorang tukang pimpin dikenali sebagai Maria, 38, yang berasal dari Madura, Jawa Tengah, Indonesia mengakui adakalanya dia boleh mendapat lebih RM100 sehari, bergantung hasil kutipan pengemis yang bekerja.

"Waktu kerja tak tentu dan biasanya bergerak bersama-sama dengan rakan pimpin lain untuk bawa orang buta jual tisu.

"Hasil pendapatan saya boleh kirim RM300 kepada keluarga di kampung dan bayar sewa rumah RM450 sebulan,” kata Maria ketika disoal polis selepas ditahan dalam Operasi Op Pintas Bersepadu (Pengemis) di ibu negara baru-baru ini.

Bernama dalam laporan khas pada Rabu mendedahkan aktiviti mengemis khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor tidak melibatkan kegiatan sindiket sebaliknya dilakukan secara ‘sukarela’ oleh pengemis untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah.

Maria, walaupun cuba berdolak-dalik ketika disoal siasat, mengaku masuk ke negara ini menggunakan permit pembantu rumah pada 2018 sebelum menjadi tukang pimpin kepada OKU penglihatan yang dikenali sebagai Mustaqim sejak 2019.

Lebih mengejutkan, wanita yang berperwatakan lembut dan sentiasa bersolek itu juga mengaku menggunakan ilmu hitam dan pengasih untuk mengahwini Mustaqim yang sehingga kini menjadi sumber pendapatan utama beliau walaupun mereka telah bercerai.

Maria kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Menurut sumber polis, Maria akan bertemu Mustaqim atau rakan sekutunya di sebuah restoran di Brickfields untuk mengatur gerak kerja mereka.

"Maria dan Mustaqim biasanya akan duduk di restoran itu sebelum mengaturkan tugas bersama Mustaqim. Berdasarkan risikan, pengemis ini akan bertugas mengikut syif bermula 9 pagi, ada waktu rehat dan akan berakhir sebelum tengah malam,” katanya yang menambah setiap syif dipercayai melibatkan tujuh OKU penglihatan dan tujuh pengiring.

Selepas selesai tugasan mengemis, kumpulan ini akan kembali ke restoran berkenaan untuk pembahagian sama rata hasil kutipan antara pengemis dengan tukang pimpin.

Hasil pemerhatian wartawan Bernama yang turut menjejaki ‘modus operandi’ Maria, restoran berkenaan mungkin menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik dan agak terlindung selain berhampiran jalan utama dan pengangkutan awam seperti monorel, sekali gus memudahkan Maria mengatur pergerakan operasi.

Maria juga turut bekerjasama dengan pemandu teksi yang dipercayai warga tempatan untuk membawa pengemis dan ‘tukang pimpin’ ke lokasi mengemis di sekitar ibu kota.

Menurut polis, aktiviti mengemis menggunakan OKU penglihatan ini turut melangkaui sempadan negeri, termasuk hingga Seremban, Negeri Sembilan, semata-mata untuk mendapat hasil yang lumayan.

"Dipercayai kumpulan ini bukan melibatkan sindiket, tiada elemen paksaan kerana kita percaya OKU ini sukarela bekerja sebagai pengemis.

"Namun, hasil siasatan dipercayai wanita ini juga ada kemungkinan menggunakan ilmu hitam untuk memujuk OKU bersama beliau.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi membongkar kegiatan mengemis melibatkan tukang pimpin warga asing ini,” katanya.

Sementara itu, Mustaqim, 56, yang turut ditahan dalam operasi tersebut mengaku melakukan kerja mengemis secara sukarela kerana pendapatan yang lebih lumayan mencecah RM2,000 sebulan.

Bapa kepada empat anak ini yang tinggal di Damansara berkata, setiap pagi dia akan ke Brickfields menemui Maria dan menganggap kerja menjual tisu sebagai punca rezeki utama untuk menampung kehidupan.

Operasi bersepadu selama empat hari bermula 9 Februari itu bertujuan membersihkan Kuala Lumpur daripada aktiviti pengemis yang telah memberi imej kurang baik kepada negara selain menjadi kebimbangan masyarakat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram