SEORANG pemotong ayam yang dipercayai bertindak menyimbah minyak panas ke arah isteri dan bayi perempuannya yang baru berusia empat bulan dalam kejadian di Semabok di Melaka Tengah, Melaka petang Jumaat direman empat hari bermula Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana cemburu kononnya isteri yang sudah dikahwini hampir tujuh tahun itu didakwa mempunyai hubungan sulit.
“Semasa kejadian, wanita berkenaan sedang menggoreng ayam sambil mendukung anak bongsunya sebelum suspek tiba-tiba datang dan mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga berlaku pertengkaran mulut.
“Mangsa ketika itu menjelaskan pada suspek tentang hubungannya dengan lelaki tersebut dan pada masa yang sama anak bongsunya (bayi) menangis.
“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan telah bertindak mengangkat kuali di dapur serta terus menyimbah minyak panas ke arah isteri serta anak bongsunya,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, akibat tindakan suspek itu, isterinya yang berusia 22 tahun serta bayi perempuan yang juga anak keempat mereka melecur di beberapa anggota badan.
“Akibat perbuatan suspek itu bayi mereka menangis dan menggelupur kepanasan sebelum ibu suspek datang dan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Melaka.
“Mangsa pertama iaitu isteri mengalami kesan melecur di paha kiri manakala bayi mereka melecur di belakang pinggang, punggung, serta keseluruhan kaki kiri dan kanan,” tambahnya.
Jelasnya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram