28 kali positif Covid-19 walaupun sudah mati


  • Benua
  • Rabu, 16 Feb 2022

MAYAT lelaki itu disimpan di dalam beg kalis air yang tertutup dan dinyahjangkit. — Agensi

SEORANG lelaki warga Ukraine yang meninggal dunia akibat lemas, disahkan positif Covid-19 sebanyak 28 kali dalam tempoh lebih sebulan.

Media antarabangsa melaporkan, sepanjang tempoh 41 hari semasa mayat disimpan di dalam bilik sejuk pada suhu 4 darjah Celsius di dalam beg kalis air yang tertutup dan dinyahjangkit, penyelidik telah menjalankan 28 calitan ujian 'nasopharyngeal' (melalui saluran hidung).

Menurut seorang doktor dari Universiti D'Annunzio Itali, penemuan itu memberi penerangan baharu tentang kewujudan berterusan virus SARS-CoV-2 dalam mayat, walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan risiko jangkitan.

"Kes sekarang menunjukkan 'kewujudan' asid ribonukleat (RNA) SARS-CoV-2 sehingga 41 hari selepas kematian," demikian menurut penyelidik dari Pusat Pengajian Lanjutan dan Teknologi universiti itu dalam laporan Journal of Medical Case.

Doktor itu menambah, "Data tentang 'kesungguhan' virus tersebut adalah penting untuk ahli patologi memahami bagi memastikan pengendalian mayat adalah selamat, dan kajian lanjut diperlukan untuk menganggarkan penularan virus itu."

Terdahulu, lelaki berusia 41 tahun itu dilapor lemas ketika berenang di laut bersama seorang rakan semasa cuaca buruk berhampiran Chieti.

Mayat mangsa kemudian ditemui tersepit di antara batu kira-kira 16 jam kemudian dan bedah siasat telah diarahkan.

Walaupun disifatkan sebagai asimtomatik sebelum kematiannya, calitan hidung telah dijalankan terhadap mayat lelaki itu selaras dengan garis panduan Covid-19 Itali.

Berikutan kebenaran untuk proses pengebumian belum selesai, mayat itu disimpan di bilik mayat Hospital Chieti.

Kesemua ujian saringan Covid-19 yang dilakukan semasa tempoh pemerhatian dilaporkan positif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram