SUDAH menjadi lumrah sejak dahulu lagi apabila bergelar selebriti terkenal, pasti segala gerak geri seharian dan kehidupan akan menjadi tumpuan.
Apatah lagi dengan dunia media sosial yang umpama tidak bersempadan, sesiapa sahaja boleh mengintai, memuji dan mengecam mereka yang bergelar selebriti.
Tahan atau tidak, itu bergantung kepada selebriti itu sendiri. Jika mahu popular dan dikenali, maka bersedialah menghadapi serangan daripada haters.
Hampir termakan dengan kata-kata haters adalah bintang YouTuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar yang nyaris membatalkan perkahwinannya kerana netizen.
Mengimbau kembali kisah itu, menurut Atta, seseorang yang tidak dikenali telah menghantar mesej berserta gambar yang memaparkan kehidupan lampau isterinya, Aurel Hermansyah.
"Ternyata bila dihantar gambar-gambar itu, saya jadi tidak keruan dan mula memikirkan untuk tidak meneruskan pernikahan walaupun ketika itu saya sudah bertunang dengannya.
"Malah, saya juga sudah bercakap mengenai perkara itu kepada ayah Aurel dan katanya, itu adalah lumrah netizen," katanya yang memiliki 29.1 juta pengikut di YouTube.
Menurut Atta, disebabkan mesej netizen itu membuatkan dia dan anak kepada penyanyi, Kris Dayanti itu hampir putus hubungan.
Jelasnya, selama dua bulan juga dia tidak berhubungan dengan Aurel disebabkan perkara itu.
"Mujur kami berdua dapat selesaikan masalah bersama dan akhirnya majlis pernikahan itu berjalan juga tanpa sebarang masalah," katanya.
Untuk rekod, Atta dan Aurel sah bergelar suami dan isteri pada 3 April 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram