INDONESIA sah menarik diri daripada kejohanan Piala AFF Bawah 23 (B-23) di Kemboja berikutan beberapa pemainnya didapati positif Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, berikutan itu, Malaysia akan bertemu Myanmar dan Laos dalam saingan Kumpulan B.
Dipetik daripada media Indonesia, ketua jurulatih Garuda, Shin Tae-yong sebagai berkata, keadaan pasukan Indonesia B-23 pada ketika ini disifatkan paling terburuk pernah beliau alami.
Tambah laporan media Indonesia itu, Tae-yong sendiri meminta PSSI menarik diri atas faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan.
Difahamkan, seramai tujuh pemain utama disahkan positif Covid-19, tiga lagi pemain mengalami kecederaan dan seorang pemain menjalani kuarantin manakala empat pemain menunggu fasa inkubasi.
Perkhabaran itu sekali gus 'menutup ruang' bagi skuad B-23 Malaysia untuk membalas dendam atas kekalahan skuad senior kepada Indonesia 1-4 dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember 2021.
Penarikan diri itu juga menyaksikan Indonesia tidak dapat mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram