Harga cili boleh naik jika berlaku sekatan pergerakan


  • Benua
  • Rabu, 09 Feb 2022

TREND penurunan harga cili di Indonesia diramal sehingga April. — Gambar hiasan

HARGA cili dijangka akan turun di bawah 40,000 rupiah (Rp) (RM11.63) per kilogram (kg) berikutan peningkatan bekalan dari kawasan pusat pengeluaran.

Ketua Umum Persatuan Usahatani Cili Indonesia (AACI), Abdul Hamid berkata, sekurang-kurangnya 120 tan cili dibekalkan ke pasar utama di Jakarta setiap hari.

Katanya, bekalan cili antara lain datang dari Bali, Tuban, Malang Selatan, Banyuwangi, Garut dan Sukabumi.

"Harga ini akan turun di bawah 40,000 Rp per kg. Trend penurunan harga ini diramal sehingga April, kerana kawasan terbabit adalah daerah pusat tuaian hasil cili.

"Bagaimanapun, jika ada masalah, harga cili akan naik semula," katanya seperti dipetik portal CNBC Indonesia.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, masalah yang dimaksudkan adalah perkembangan pandemik Covid-19 semasa di Indonesia yang menyaksikan sekatan pergerakan boleh dilaksanakan semula jika kes mencecah paras bahaya.

"Kalau ada Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) lagi, pasaran cili akan berhenti.

"Stok tidak dapat diagihkan kepada pembekal dan peruncit kerana jalan-jalan dikenakan sekatan sekali gus menjadikan harga cili mahal lagi," katanya.

Laman web Pusat Maklumat Harga Makanan Strategik Nasional (PIHPS) pada Isnin merekodkan kenaikan harga cili, namun masih stabil.

Harga cili merah besar naik hingga 40,150 Rp (RM11.68) per kg, cili merah kerinting 38,750 Rp (RM11.27) per kg dan lada cayenne merah meningkat sebanyak kepada 52,300 Rp (RM15.21) per kg berbanding hari sebelumnya.

"Jadi, kalau harga cili sekarang 40,000 Rp, ia masih berpatutan di setiap rantaian daripada petani hingga pengguna.

"Jika harga terus turun di bawah paras itu, ia sudah tentu merugikan petani. Jika penurunan harga berterusan mereka akan beralih kepada tanaman lain yang boleh menjana wang cepat seperti kacang buncis," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram