SEORANG pengawal keselamatan di sebuah hospital di Bandung, Indonesia tergamak merogol seorang gadis bawah umur berusia 14 tahun ketika ibunya dirawat di rumah sakit berkenaan.
Perbuatan keji itu dilakukan suspek, Asep Wisnu Sugiarto, 40, terhadap mangsa antara Oktober hingga Disember tahun lepas.
“Sudah lima kali remaja ini dirogol,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bandung, Ajun Komisaris Besar, Rudi Trihandoyo di Kota Bandung pada Jumaat.
Rudi berkata, kejadian bermula apabila mangsa menemani ibunya yang dirawat di hospital.
Menurutnya, ketika itu, suspek mengambil kesempatan berkenalan dengan mangsa.
"Bertitik tolak daripada perkenalan itu, kedua-duanya kemudiannya menjalinkan hubungan cinta," katanya seperti dipetik Detik.com.
Katanya lagi, suspek kemudiannya memujuk mangsa untuk melakukan hubungan seks.
"Modus operandi suspek ialah dengan memujuk rayu mangsa hingga dia terpedaya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu," katanya.
Rudi mendedahkan, mangsa dirogol di beberapa lokasi termasuk di kawasan hospital ketika ibunya sedang menjalani rawatan.
Kes itu terbongkar apabila kakak mangsa menemui perbualan tidak senonoh di telefon bimbit mangsa sebelum melaporkannya kepada polis.
Pasukan dari unit Pelayanan Perempuan dan Anak (PPA) Polis Bandung kemudian berjaya menahan suspek.
Atas perbuatannya itu, dia akan didakwa di bawah Perkara 81 dan Perkara 82 Tentang Perlindungan Anak yang boleh membawa hukuman penjara lima hingga 15 tahun jika sabit kesalahan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram