Penularan Covid-19, cadang hentikan sesi persekolahan bersemuka


  • Benua
  • Khamis, 03 Feb 2022

CADANGAN menghentikan pembelajaran secara bersemuka dipercayai dapat mengurangkan risiko penularan kes kepada pelajar di Indonesia. — Agensi

PEMBELAJARAN secara bersemuka pada kapasiti 100 peratus di sekolah di Jawa-Bali, Indonesia dicadang supaya dihentikan untuk bulan depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Cadangan itu diutarakan Gabenor Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, Anies Baswedan kepada Koordinator Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Jawa-Bali, Luhut Binsar Pandjaitan.

Jurucakap Luhut Jodi Mahardi berkata, cadangan itu masih dibincangkan.

“Masih dalam perbincangan,” kata Jodi seperti dipetik portal berita Detiknews.com ketika diminta mengesahkan berhubung perkara itu pada Rabu.

Jodi mendedahkan cadangan itu sedang dibincangkan dengan empat kementerian dan institusi berkaitan yang mengambil bahagian dalam Keputusan Bersama (SKB) Pembelajaran Tatap Muka (PTM).

Jelasnya, semua kemungkinan yang boleh berlaku akan dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Ia masih dibincangkan dengan kementerian dan institusi yang membuat SKB PTM. Pilihan itu sedang dipertimbangkan," katanya.

Sebelum ini, Anies mencadangkan kepada Luhut supaya menghentikan PTM dan meminta agar pembelajaran dipindahkan ke dalam talian untuk bulan depan.

Beliau percaya cadangan itu dapat mengurangkan risiko penularan kes kepada pelajar semasa PTM.

"Kita sedia maklum bahawa keadaan di Jakarta memerlukan kanak-kanak mengurangkan risiko jangkitan dan saranan ini ialah kita hentikan PTM.

"Biar kita 100 peratus belajar dari rumah. Apa keputusannya, kita akan kemas kini kemudian," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram