PENDUDUK kampung pada pagi Sabtu dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki terapung di Empangan Koja, di daerah Jatiasih, dekat Kota Bekasi, Indonesia.
Ketika penemuan itu, telinga dan hidung mayat tersebut didapati berdarah.
Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Kombes Zulpan mengesahkan penemuan mayat itu oleh penduduk sekitar jam 9 pagi.
"Nama mangsa adalah Barnabas Noken, yang dianggarkan berusia 35 tahun. Ketika ditemui, hidung dan telinganya berdarah disyaki terjatuh ke dalam empangan," katanya.
Katanya, mangsa ditemui oleh seorang saksi dikenali sebagai Elga, yang kemudian memanggil rakan-rakannya serta memanggil orang ramai untuk meminta tolong.
Seorang lagi saksi dikenali sebagai Rojali, yang sedang memancing ketika itu mendekati Elga dan rakan-rakannya sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa terjatuh ke dalam empangan dan polis turut menemui sebuah motosikal bersama geran, sebuah telefon bimbit, pengecas mudah alih (power bank), dan sekeping kad vaksinasi.
Mangsa kini ditempatkan di sebuah hospital kerajaan di Kota Bekasi untuk bedah siasat, sementara pihak polis masih menyiasat punca kematian mangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram