MAYAT wanita dipercayai warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong, Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai dekat Johor Bahru, Johor, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berusia 64 tahun itu daripada orang awam kira-kira jam 10.45 pagi.
"Polis turut mengesan seorang wanita tempatan berumur 33 tahun yang telah membuat laporan orang hilang dipercayai waris warga emas itu kerana mengecam pakaian yang dipakai oleh si mati," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, wanita tempatan itu juga sebelum ini dipercayai tinggal bersama dengan si mati.
Katanya, mayat warga asing itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Masai untuk proses bedah siasat.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan dan peringkat ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saiful Bahri Safar menerusi kenyataan berasingan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan bantuan mengangkat mayat daripada pihak polis pada jam 12.11 tengah hari.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa wanita dewasa berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai seperti yang dinyatakan oleh pihak polis.
"Mangsa telah meninggal dunia setelah disahkan pihak petugas kesihatan di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram