Tiga lelaki dipercayai suspek kes samun maut dalam kemalangan di Tumpat


  • 112
  • Khamis, 03 Feb 2022

KEADAAN kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai suspek kes samun hangus terbakar selepas terlibat kemalangan. — Bernama

TIGA lelaki dipercayai suspek kes samun, maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki mereka merempuh tiang batu sebelum terbakar berdekatan Kampung Morak, Tumpat, Kelantan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Azmir Damiri berkata, dalam kejadian pada 2 pagi itu, seorang daripadanya dipercayai pemandu berusia 33 tahun tercampak keluar, manakala dua lagi yang belum diketahui identitinya ditemukan rentung dalam kenderaan yang terbakar.

"Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai baru melakukan samun dengan membawa lari sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di sebuah rumah dekat Kampung Palekbang.

"Siasatan awal mendapati kereta terbabit sebelum ini dinaiki empat lelaki sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan pacuan empat roda dari rumah itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Khamis.

Beliau berkata, pemilik Ford Ranger yang menyedari kehadiran empat lelaki terbabit selepas terdengar bunyi enjin dihidupkan cuba menghalang, namun mangsa dilibas senjata tajam sebelum kesemua suspek melarikan diri.

"Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek menggunakan sebuah kereta jenis BMW, sebelum kenderaan Honda HRV dinaiki tiga suspek terbabas dan melanggar tiang batu di Kampung Morak menyebabkannya terbakar," katanya.

Menurut Azmir, pemilik Ford Ranger tersebut bagaimanapun terus mengejar seorang lagi lelaki yang membawa kenderaan miliknya sehingga ke Kubang Kerian sebelum kenderaan itu terbabas, namun suspek berjaya melarikan diri.

"Ketika ini kesemua mayat berada di Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1941," katanya yang memaklumkan polis sedang mengesan lelaki yang melarikan Ford Ranger tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram