Lelaki maut ditembak lebih 10 das di Bukit Mertajam


  • 112
  • Selasa, 01 Feb 2022

ANGGOTA polis memeriksa lokasi kejadian di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin. — Facebook

SEORANG lelaki dilaporkan maut selepas ditembak lebih 10 das tembakan dalam kejadian di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tembakan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun itu pada pukul 9.30 malam sebelum sepasukan polis terus ke lokasi tersebut.

"Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah itu ditemukan di tingkat tiga kawasan parkir tersebut dan polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa lebih daripada seorang.

"Setakat ini polis menjumpai sebanyak 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian namun jumlah das tembakan yang terkena tubuh mangsa masih disiasat," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan itu bermotifkan dendam berikutan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Siasatan mendapati lelaki itu tinggal di kondominium mewah tersebut sejak lima bulan lepas dan pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

"Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.

Ujar Mohd Shuhaily, berdasarkan siasatan, mangsa turut dikehendaki polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram