MAYAT wanita warga Malaysia berusia 22 tahun ditemukan terapung di sungai di Pasir Ris, Singapura selepas tiga hari dilaporkan hilang.
Mangsa, Khoo Yee Joo, yang berasal dari Kedah didakwa hilang selepas dia keluar untuk bekerja di Chai Chee, Singapura pada petang Ahad.
Singapore Civil Defence Force (SCDF) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.30 malam pada Selasa.
Setibanya di lokasi kejadian, mayat wanita itu dilihat berada dalam keadaan terapung di sungai dan pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian juga mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
SCDF juga berkata, tiada ada sebarang unsur jenayah disyaki terlibat dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Ibu saudara Yee Joo, Huang Yan Ying berkata, mangsa kali terakhir dilihat berada di perhentian bas bertentangan Taman Perindustrian Chai Chee kira-kira pukul 6 petang pada Ahad.
Dua daripada rakan sekerja Yee Joo yang juga berada di perhentian bas sempat melihat dia berjalan ke arah bas yang telah tiba tetapi tidak pasti sama ada dia menaikinya kerana mereka menaiki bas lain.
Yee Joo sebelum ini berpindah ke Singapura selepas mendapat pekerjaan sebagai penolong guru bahasa Cina di sebuah pusat tuisyen pada akhir September.
Dia tinggal bersama ibu saudaranya di Toa Payoh, Singapura. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram