POLIS Indonesia menahan 11 anggota sindiket pengedaran dadah syabu yang diseludup dari Malaysia di lima lokasi di Pekanbaru dan Kota Dumai pada Sabtu (15 Januari).
Ketua Perhubungan Awam Polis Riau, Kombes Sunarto pada Khamis (20 Januari) berkata, sebanyak 80 kilogram kristal methamphetamine ditemui dalam operasi berkenaan.
Difahamkan kes itu bermula dengan maklumat kemasukan dadah jenis methamphetamine daripada sindiket antarabangsa dari Malaysia ke wilayah Riau pada Khamis (13 Januari).
"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis berjaya menahan tiga orang lelaki berusia 22 hingga 45 tahun di sebuah salun di Kota Dumai.
"Hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek mendapati sindiket dadah antarabangsa itu dikendalikan oleh bekas tahanan penjara yang menjalani hukuman kemasyarakat di Lembaga Pemasyarakatan (Lapas) Bengkalis," kata Sunarto seperti dipetik portal Riau Karya.
Sunorto berkata, tahanan itu dipercayai mendapat arahan daripada seorang pengedar dadah dari Malaysia untuk mengambil syabu itu di tengah perairan Melaka.
"Berdasarkan keterangan itu, polis berjaya menangkap dua lagi suspek berumur 27 dan 44 tahun yang berperanan sebagai tekong untuk mengambil dadah tersebut yang disorok dalam enam beg pakaian.
"Dadah itu kemudian dipercayai diserahkan kepada individu bernama S yang bertindak sebagai kurier darat sebelum lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Pekanbaru," katanya.
Katanya lagi, empat lagi suspek kurier darat yang sepatutnya membawa dadah itu ke Jawa Barat dan Jawa Timur ditahan di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah hotel di Jalan Harapan Raya dan hotel di Jalan Sultan Syarif Kasim.
"Semua suspek dan bahan bukti dibawa ke Pejabat Direktorat Narkotik Polis Riau untuk siasatan lanjut," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram