VTL Malaysia-Singapura dibuka semula


  • Primer
  • Jumaat, 21 Jan 2022

MALAYSIA dan Singapura menggantung sementara penjualan tiket VTL udara dan darat pada 23 Disember hingga 20 Januari susulan ancaman varian Omicron Covid-19. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) membuka semula penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura berkuat kuasa Jumaat.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kuota tiket bas dan penerbangan yang dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti sedia ada.

"Bagi penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota ditetapkan sebelum ini.

"Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket penjualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh KKM berdasarkan situasi semasa Covid-19 di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Khairy, keputusan untuk membuka semula penjualan tiket bagi inisiatif VTL darat dan udara itu dibuat hasil penilaian risiko yang dilaksanakan berdasarkan situasi semasa Covid-19 di kedua-dua negara.

Malaysia dan Singapura menggantung sementara penjualan tiket VTL udara dan darat pada 23 Disember hingga 20 Januari susulan ancaman varian Omicron Covid-19.

Khairy turut mengingatkan pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura supaya melaksanakan ujian pantas antigen (RTK-Ag) (kendiri) pada hari kedua, keempat, dan keenam selepas ketibaan atau RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

Katanya, langkah tersebut selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan Covid-19 dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara termasuk yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL.

"KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain," katanya.

Menurutnya, ia bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura dapat terus dilaksanakan dengan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram