PEJABAT Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak menerima sebarang surat permohonan pembubaran DUN, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat pada Jumaat, selepas tular di media sosial susulan sebuah portal mendakwa beliau sudah mendapat surat tersebut, sekali gus menyatakan PRN bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Tidak, makluman portal itu tidak benar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.
Terdahulu, sebuah portal mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, telah menghantar surat permohonan pembubaran DUN kepada Pejabat Speaker DUN Johor pada Khamis.
Khabar angin mengenai PRN akan datang bertiup kencang, berikutan kematian Adun Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lalu menjadikan kerajaan pimpinan Umno hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.
Pada masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram