HIBAH atau dividen Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka meningkat pada tahun ini pada 5.2 peratus berbanding tahun lepas yang hanya 3.1 peratus, kata Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob.
Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, perkara tersebut disebabkan terdapat beberapa pelaburan yang memberi keuntungan yang lebih kepada institusi kewangan Islam itu.
Beliau tidak menafikan terdapat pelaburan yang pendapatannya agak kurang memberangsangkan, namun ada juga pelaburan yang mempunyai dividen tinggi.
"Meskipun kita menghadapi pertumbuhan ekonomi agak lemah tahun lepas, tetapi pelaburan yang dibuat oleh TH ini agak menguntungkan juga termasuk pelaburan dalam kelapa sawit, yang mana harga kelapa sawit tengah naik," katanya kepada Majoriti.
ABU SOFIAN berkata, beberapa pelaburan memberi keuntungan lebih kepada TH. — Facebook
Setiap tahun, pengumuman kadar agihan hibah dan bonus TH biasanya akan diumumkan sekitar bulan Mac, manakala tarikh rasminya masih belum diumumkan.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas tarikh yang diumumkan nanti.
Hibah TH diharap lebih tinggi berbanding dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sudah diumumkan pada bulan lepas.
Ini supaya dapat mengubat kekecewaan rakyat yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan pengumuman Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berhubung pembayaran pengagihan pendapatan lima sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.
Jumlah berkenaan menjadikan angka pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada 1990.
Jumlah yang diumumkan pada bulan lepas menyamai dividen pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram