Warga emas didenda hampir RM16,000 akibat gigit polis, panggil doktor 'bodoh'


  • Benua
  • Khamis, 20 Jan 2022

WANG Yuxi dirakam meninggalkan pekarangan Mahkamah Singapura pada 18 Januari lalu. — Agensi

SEORANG wanita berusia 54 tahun dihukum penjara selama seminggu dan didenda S$5,000 (RM15,549.85) pada Selasa (18 Januari) kerana memukul dan menggigit seorang pegawai polis bantuan, selain menghina seorang doktor semasa kemuncak wabak Covid-19 pada 2020.

Rakyat Singapura itu, Wang Xuyi, didapati bersalah selepas dibicarakan pada lewat tahun lalu. Wang mendakwa bahawa dia tidak tahu kata-katanya itu merupakan satu penghinaan dan tidak tahu makna perkataan 'gila' dalam bahasa Mandarin.

Ketika prosiding mahkamah pada Selasa, dia menyuarakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan sebelum Hakim, Lau Qiuyu menangguhkan hukuman penjara ke atas Xuyi sehingga 3 Februari 2022.

Xuyi yang tidak diwakili peguam, didapati bersalah atas dua tuduhan menggunakan kata-kata berunsur penghinaan terhadap seorang doktor termasuk memanggilnya 'bodoh' di Hospital Besar Changi (CGH) pada petang 16 Mei 2020.

Singapura ketika itu menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 yang mengehadkan pergerakan dan kegiatan disebabkan oleh penularan pandemik itu.

Dia juga dituduh menyebabkan kecederaan dan cuba mencederakan seorang pegawai polis bantuan yang cuba menenangkannya selepas kejadian itu.

"Ketika tertuduh ditenangkan, dia menanggalkan pelitup muka dan menggigit lengan polis terbabit.

"Insiden itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup di bahagian kecemasan hospital CGH berkenaan," demikian menurut laporan portal Today Online.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000 atau dikenakan kedua-dua hukuman tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram