Pembelian Ketkeophomphone sekadar 'tangkap muat'?


  • Podium
  • Rabu, 19 Jan 2022

PEMAIN kebangsaan Laos itu menarik perhatian pengurusan Sri Pahang FC ketika beraksi pada kejohanan Piala AFF bulan lalu. — Facebook

KEHADIRAN pemain pertama Laos di Liga Super, Billy Ketkeophomphone yang dikhabarkan semakin hampir menyertai Sri Pahang musim depan pastinya ditunggu para peminat Tok Gajah.

Ketkeophomphone dijangka akan mengisi kuota pemain import ASEAN Sri Pahang bagi menggantikan pemain Myanmar, Aung Kaung Mann.

Pemain berusia 32 tahun itu menjadi perhatian para peminat bola sepak Asia Tenggara apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan Laos buat kali pertama ketika saingan Piala Suzuki AFF di Singapura bulan lalu.

Meskipun gagal menjaringkan sebarang gol, ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel dilaporkan tertarik dengan aksi Ketkeophomphone pada kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, timbul keraguan sama Ketkeophomphone mampu menyerlah di Liga Malaysia (Liga-M) berdasarkan prestasi semasanya.

Musim lalu, Ketkeophomphone beraksi dengan pasukan Ligue 2 Perancis, USL Dunkerque dan hanya menjaringkan tiga gol dalam 25 penampilan.

Berdasarkan rekod, Ketkeophomphone hanya mengumpulkan enam gol dalam 53 penampilan Ligue 1 dan 23 gol dalam saingan Ligue 2.

Dia juga gagal menjaringkan sebarang gol bersama pasukan kebangsaan Laos ketika saingan Piala AFF.

Berkemungkinan Ketkeophomphone hanya akan memanaskan bangku simpanan selepas Sri Pahang memiliki Sergio Aguero dan Mahmoud Zatara di bahagian serangan.

Berdasarkan rekod semasa, penyerang import baharu Sri Pahang, Zatara dilihat lebih menyerlah selepas membantu pasukan Al-Wehdat menjadi naib juara Liga Jordan dan Piala Super Jordan tahun lalu.

Namun, pembelian Ketkeophomphone dilihat akan menarik minat peminat bola sepak Laos untuk menonton Liga-M musim depan.

Adakah Sri Pahang hanya 'tangkap muat' atau Ketkeophomphone mampu membuktikan bahawa kritikan itu tidak benar? Biar saja para peminat yang menilai. — Majorit

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram