Datuk 58 tahun disyaki kelar leher wanita hamil tiga bulan


  • Benua
  • Selasa, 18 Jan 2022

SUSPEK masih disoal siasat di Pejabat Polis Aceh Timur di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah berhubung pembunuhan terancang. — Agensi

SEORANG lelaki warga emas berusia 58 tahun disyaki membunuh seorang wanita dari Aceh Timur, Aceh, Indonesia dikenali sebagai Asrawati, 35, yang hamil tiga bulan dengan mengelar leher mangsa.

Ketua Unit Siasatan Jenayah, Ajun Komisaris Mifthahuda Dizha Fezuono berkata, motif pembunuhan itu dipercayai didorong oleh hubungan sulit antara mangsa dengan suspek yang mahu lelaki itu bertanggungjawab terhadap bayi dalam kandungan.

Beliau berkata, suspek yang sudah berkahwin disyaki sengaja membunuh mangsa supaya hubungan mereka tidak terbongkar.

“Suspek dikatakan takut hubungan mereka diketahui dan tidak mahu aibnya terbuka lalu pelaku nekad membunuh mangsa,” katanya seperti dilaporkan portal Detik.com.

Suspek kini masih disoal siasat di Pejabat Polis Aceh Timur di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah berhubung pembunuhan terancang.

Terdahulu, Asrawati ditemukan mati dengan keadaan cedera di leher selepas dilaporkan hilang.

Jenazah Asrawati ditemukan pada pagi Jumaat lalu di hutan Dusun Suka Makmur, Desa Seunebok Bayu, Kabupaten Banda Alam, Aceh Timur oleh penduduk yang sedang mencarinya.

"Mangsa ditemui penduduk yang mencari keberadaannya sejak Khamis. Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dan berdarah," kata Dizha. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram