KENAIKAN harga barang termasuk minyak masak tidak hanya berlaku di Malaysia malah negara jiran, Indonesia juga mengalami nasib serupa susulan harga minyak sawit mentah dunia meningkat kepada AS$1,340 (RM5,610) tan metrik (MT).
Untuk itu, kerajaan Indonesia memutuskan untuk meningkatkan usaha menampung perbezaan harga minyak masak bagi memenuhi keperluan isi rumah, industri mikro dan industri kecil.
Dasar itu adalah berdasarkan hasil penilaian yang mengambil kira ketersediaan dan kemampuan harga minyak masak untuk masyarakat.
Sebagai susulan kepada dasar sebelum ini, kerajaan sekali lagi memastikan rakyat boleh mendapatkan minyak masak bungkus dengan harga mampu milik iaitu 14,000 rupiah (RM4.08) seliter.
Harga itu bukan sahaja diberikan untuk minyak masak bungkus 1 liter, tetapi juga untuk minyak masak bungkus 2 liter, 5 liter dan 25 liter.
Ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Badan Pengelola Dana Perkebunan Kelapa Sawit (BPDPKS), Menteri Koordinator Perekonomian Airlangga Hartarto berkata, minyak masak bungkus dengan harga istimewa akan dibekalkan sebanyak 250 juta liter sebulan bagi tempoh enam bulan.
“Pelaksanaan dasar satu harga minyak masak iaitu 14,000 rupiah seliter akan berkuat kuasa Rabu (19 Januari 2022) jam 00.00 WIB di seluruh Indonesia.
"Namun, khusus untuk pasar tradisional, jangka waktu penyelarasan adalah selewat-lewatnya seminggu dari tarikh pelaksanaan,” kata Airlangga seperti dipetik portal Detik.com
Katanya, kerajaan juga akan terus melaksanakan pemantauan dan penilaian rutin setiap bulan terhadap pelaksanaan dasar tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram