Pasangan tular tinggal bawah jambatan dibantu, pilih menyewa di Kapar


  • Primer
  • Isnin, 17 Jan 2022

KEADAAN lelaki itu yang tinggal bersama isterinya di bawah jambatan LRT. — Facebook

PASANGAN suami isteri yang tular di media sosial pada Ahad kerana tinggal di bawah jambatan LRT selepas didakwa dihalau dari rumah sewanya telah mendapat rumah baharu di Kapar, Klang, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam satu perkongsian di status Facebook miliknya.

"Setelah dapat maklumat daripada Perdana Menteri pada Ahad, saya kerahkan pasukan wilayah pergi mencari 'kawan' yang tidur bawah jambatan.

"Rupanya pasukan lain pun ramai ke sana termasuk Baitulmal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan peluang berniaga di Kuala Lumpur," katanya.

Namun menurut Shahidan, lelaki itu memilih untuk menyewa rumah di Kapar, Klang yang akan dibayar oleh Baitulmal.

Jelasnya, pasukannya juga telah menyerahkan sedikit bantuan keperluan kepada pasangan tersebut.

Terdahulu pada Ahad, tular kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai Kasturi yang dilaporkan tinggal di bawah jambatan LRT kerana tidak mampu membayar sewa rumahnya di Kapar ekoran diberhentikan kerja.

Tambah menyedihkan, isteri lelaki itu juga dikatakan sedang sakit dan tidak dapat meneruskan rawatan di hospital kerana masalah kewangan yang dihadapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram