PENGERUSI, Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing mengisytiharkan gencatan senjata ketika bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen yang melawat Nay Pyi Taw pada 7 Januari.
Aung Hlaing memaklumkan Hun Sen bahawa kerajaan Myanmar sebelum ini telah mengisytiharkan gencatan senjata selama lima bulan dengan semua Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO) sehingga akhir Februari 2022 dan dan kini memutuskan untuk melanjutkannya sehingga akhir 2022
Aung Hlaing juga menyeru semua pihak menerima gencatan senjata itu demi kepentingan negara dan rakyat, menamatkan semua tindakan keganasan dan bertenang sepenuhnya.
Di pihak Hun Sen, beliau sangat menyokong langkah itu yang bertujuan meredakan ketegangan dan membolehkan dialog membina dalam kalangan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mencapai keamanan berkekalan dan pembangunan negara.
Sementara itu, Aung Hlaing berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan Duta Khas Asean ke Myanmar untuk menyertai rundingan gencatan senjata dengan EAO.
"Adalah amat penting menyediakan mekanisme dan kemudahan yang sesuai untuk program vaksinasi Covid-19 serta pemberian bantuan kemanusiaan yang berkesan kepada golongan memerlukan tanpa diskriminasi," katanya.
Kemboja bertanggungjawab sebagai Pengerusi Asean tahun ini dan Perdana Menterinya, Hun Sen menjadi pemimpin asing pertama melawat Myanmar sejak rampasan kuasa Februari 2021.
Lawatan dua hari beliau bertujuan mencari penyelesaian bagi menamatkan krisis politik yang sedang berlaku di Myanmar sejak rampasan kuasa itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram