Pilihan raya di lima negeri, langkah pencegahan Covid-19 dipertingkat


  • Benua
  • Ahad, 09 Jan 2022

LIMA negeri di India akan mengadakan pilihan raya dewan undangan negeri pada Februari dan Mac walaupun negara itu sedang berhadapan kes Covid-19 yang tinggi.

Difahamkan, langkah keselamatan untuk mencegah Covid-19 juga sedang dipergiat untuk mengelak jangkitan ketika proses pengundian.

Pengundi di Uttar Pradesh yang mempunyai paling ramai penduduk dan penting daripada segi politik, akan keluar mengundi mengikut tujuh fasa antara 10 Februri dan 7 Mac untuk 403 kerusi dewan undangan negeri.

Punjab, Uttarakhand dan Goa akan mengundi pada 14 Februari manakala Manipur, wilayah timur laut terpencil akan mengundi dalam dua fasa pada 27 Februari dan 3 Mac.

Jumlah kerusi dewan undangan di Punjab adalah 117, diikuti 70 kerusi di Uttarakhand, 60 kerusi di Manipur dan 40 kerusi di Goa.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menguasai empat negeri manakala parti Kongres pembangkang berkuasa di Punjab.

Lebih 183 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya itu dan kira-kira 85 juta daripadanya merupakan pengundi wanita.

Pengiraan undi akan berlangsung pada 10 Mac.

Semasa mengumumkan jadual pilihan raya itu di New Delhi pada Sabtu, Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Sushil Chandra dilihat tidak begitu bimbang dengan risiko penularan Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa lonjakan jangkitan baru-baru ini adalah dari tempat-tempat seperti Maharashtra, Delhi dan Karnataka, bukan dari negeri-negeri yang terlibat dengan pilihan raya itu.

"Tidak perlu panik, tetapi masih perlu berhati-hati dan mematuhi penjarakan sosial dan amalan pencegahan Covi-19 yang sesuai," kata Chandra.

India pada pagi Sabtu melaporkan 141,986 kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.

Jangkitan meningkat secara mendadak berbanding angka empat digit harian pada Disember.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, kesemua 215,368 pusat mengundi akan dilengkapi kemudahan pencegahan Covid-19 seperti pembersih tangan, pengimbas haba, pelitup muka dan sarung tangan.

Menyifatkan situasi pandemik sebagai sangat dinamik, suruhanjaya itu berkata, ia akan mengeluarkan garis panduan lanjut selepas membuat semakan semula minggu depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram