Jangkitan Omicron meningkat jadi 318 kes


  • Benua
  • Ahad, 09 Jan 2022

295 kes jangkitan Omicron dikesan membabitkan pelancong dari luar negara. — Agensi

VARIAN baharu Covid-19, Omicron, kian merebak di Indonesia apabila jumlah kes positif meningkat kepada 318 selepas 57 orang lagi dijangkiti virus itu setakat Jumaat.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Siti Nadia Tarmidzi berkata, kes baharu itu membabitkan 50 jangkitan import dan tujuh jangkitan tempatan

"Terdapat 23 kes penularan tempatan dan 295 kes membabitkan pelancong luar negara sejak Disember 2021 hingga 7 Januari lalu.

"Kebanyakan kes dikesan pada pengembara sudah lengkap divaksin yang pulang dari Turki dan Arab Saudi, manakala 4.3 peratus daripada yang dijangkiti mempunyai komorbiditi seperti diabetes mellitus dan hipertensi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Memandangkan peningkatan kes, kerajaan menghalang pelawat dari 14 negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Norway, Perancis, Angola, Zambia, Zimbabwe, Malawi, Mozambique, Namibia, Eswatini, Lesotho, United Kingdom dan Denmark.

Sekatan itu juga terpakai kepada pengembara antarabangsa yang transit melalui negara itu dalam tempoh 14 hari yang lalu.

Jumlah Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 4,265,187 setakat 7 Jan, dengan 518 kes baharu, melepasi paras 500 dalam dua hari lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram