AKSI 'membunuh diri' sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, Negeri Sembilan mengundang padah selepas ditahan polis, pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Operasi Khas Samseng Jalanan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman itu berjaya menahan enam penunggang terbabit kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan melakukan aksi bersaing sesama sendiri, superman, menundukkan badan dan zig-zag.
"Polis telah menahan keenam-enam penunggang lelaki berusia lingkungan 17 hingga 19 tahun.
"Semua motosikal jenis Yamaha 135LC, Yamaha 125ZR dan Yamaha Lagenda 115ZR telah disita untuk tindakan lanjut," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, soal siasat mendapati geng terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk bersiar.
Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram