Hampir 1,900 ekor babi positif ASF dimusnahkan di Masjid Tanah


  • Primer
  • Sabtu, 08 Jan 2022

AKTIVITI pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan giat dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di Paya Mengkuang. — Gambar hiasan / Agensi

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, di Melaka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Norlizan Mohd Noor berkata, bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit ASF, JPV telah menguatkuasakan stamping out policy menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

"Pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

"Setakat Jumaat, sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu juga telah dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norlizan berkata, aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.

"Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD).

"Mereka juga boleh membuat laporan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041),” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram