TIGA beranak sempat menyelamatkan diri daripada digilis kereta api selepas motosikal yang ditunggangi mereka sebelum itu tersekat di landasan ketika mereka cuba menyeberanginya dalam kejadian di Jawa Timur, Indonesia.
Kejadian mencemaskan yang berlaku di wilayah Lumajang pada 9 Disember lalu itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum video tersebut tular di laman sosial.
Menurut laporan Daily Mail, rakaman CCTV itu menunjukkan seorang wanita bersama dua orang anaknya cuba menyeberangi landasan kereta api menaiki sebuah motosikal sebelum tayar kenderaan itu tersekat di tengah-tengah landasan.
Menerusi rakaman berdurasi 12 saat itu, si ibu dilihat cuba menolak motosikal itu menggunakan segala kudrat yang ada, namun tidak berjaya melepasi bonggol landasan.
RAKAMAN video insiden tiga beranak hampir digilis kereta api di Lumajang, Indonesia. — Facebook
Keadaan bertambah cemas apabila sebuah kereta api menghampiri mereka dengan kelajuan tinggi sekali gus membuatkan mereka segera turun dari motosikal terbabit untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Rakaman menunjukkan anak-anaknya berlari ke belakang manakala si ibu cuba menolak motosikal ke hadapan namun tidak tidak berjaya berbuat demikian.
Dia kemudian cuba menarik motosikal itu dari arah belakang dengan dibantu anak perempuannya tetapi usaha mereka masih gagal.
Menyedari kereta api tersebut semakin hampir, mereka kemudiannya mengaku kalah dan membiarkan sahaja motosikal itu di landasan sebelum ia digilis sekelip mata.
Rentetan kejadian itu, polis segera menjalankan siasatan dan meminta pihak berkuasa tempatan memeriksa keadaan landasan berkenaan supaya ia selamat untuk kegunaan.
"Si ibu sangat bernasib baik kerana tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku terhadap anak-anaknya. Dia masih trauma dengan kejadian itu dan kami percaya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram