SEORANG pemandu syarikat kereta sewa di Singapura digantung kerja selepas didakwa tidak membenarkan seorang wanita beragama Islam mendengar sebarang bahan keagamaan dalam keretanya.
Syarikat kereta sewa itu, Ryde berkata, pihaknya sama sekali tidak bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku tidak wajar terutama sekali yang menyinggung kaum, agama dan budaya orang lain.
"Kami juga tidak bertolak ansur sama sekali terhadap kata-kata berbaur perkauman dan semua bentuk gangguan lain," katanya kepada Channel News Asia.
Ini selepas satu catatan dimuat naik di laman Instagram Wake Up, Singapore pada Jumaat yang berkongsi pengalaman wanita terbabit tentang kejadian yang menimpa dirinya.
Menurut wanita itu, dia memakai fon telinga semasa menaiki kereta tersebut sebelum pemandu berkenaan membuat isyarat untuk tidak mendengar sebarang bahan keagamaan seperti bacaan doa.
Wanita tersebut kemudian meminta pemandu berkenaan menurunkannya daripada kenderaan tersebut, namun permintaannya dijawab secara kasar.
Lelaki tersebut melalui video di Instagram tersebut kedengaran membalas, "Komisyen, awak mesti bayar."
Wanita itu menjawab ya sambil menambah dia sendiri akan menghubungi Ryde berhubung perkara itu.
Sementara itu, Ryde dalam satu kenyataan memohon maaf dan menyatakan pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.
"Kami mahu meminta maaf kepada penumpang kami dan semua yang tersinggung disebabkan insiden ini.
"Kami akan berusaha dengan lebih baik lagi untuk melatih pemandu kami untuk bersikap lebih menghormati selain mengenakan denda lebih berat kepada mereka yang gagal memenuhi piawaian," katanya.
Ryde pada masa sama memaklumkan pihaknya sudah memulangkan wang penumpang itu sepenuhnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram