POLIS mengesahkan dua ahli perniagaan yang dikehendaki iaitu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee masih belum tersenarai dalam Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya bagaimanapun telah membuat permohonan Notis Merah ke atas kedua-dua individu itu.
"Saya dimaklumkan yang notis itu tidak muncul berkemungkinan disebabkan beberapa sebab tertentu yang saya tidak pasti.
"Saya bagaimanapun akan mendapatkan pengesahan semula perkara ini kerana atas pemahaman saya, ada protokol tertentu yang perlu dipatuhi agar Notis Merah itu muncul," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Untuk rekod, pada April lalu, Interpol telah meluluskan Notis Merah untuk mengesan dan menahan Nicky Liow dan isterinya, Liu Zhe yang juga seorang warga China berusia 31 tahun, Liu Zhe.
Notis Merah Interpol ialah permintaan kepada penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menahan orang yang berkepentingan.
Ia dikeluarkan oleh sekretariat agung organisasi berikutan permintaan negara anggota atau tribunal antarabangsa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta Interpol mengeluarkan Notis Merah untuk ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
