SEORANG pembantu rumah warga Myanmar berusia 39 tahun dihukum penjara 30 minggu atau kira-kira tujuh bulan, kerana mendera seorang mangsa uzur berumur 76 tahun yang tidak dapat bergerak dan terlantar di atas katil.
Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Singapura kepada Aye Aye Naing, pada Isnin selepas dia didapati bersalah mencederakan muka mangsa berkali-kali dengan memukul mulut mangsa menggunakan sebuah jam loceng dan menekan botol air di mulutnya.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, Quek Ah Guat, seorang rakyat Malaysia, mengalami masalah tulang belakang dan menghidap artritis atau keradangan sendi.
Rakaman penderaan itu adalah daripada televisyen litar tertutup (CTTV), yang dimainkan di mahkamah dan menunjukkan Ah Guat terbaring di atas katil di rumah pangsa milik anak perempuannya di Yishun Ring Road.
Timbalan Pendakwa Raya, Selene Yap memberitahu mahkamah, Ah Guat tidak berupaya melindungi dirinya daripada penderaan atau pengabaian selain tidak berdaya untuk melindungi dirinya daripada Aye Aye Naing.
"Aye Aye Naing tidak mengalami masalah dengan majikannya yang menyediakannya dengan makanan yang secukupnya dan tempat tidur yang sesuai.
"Majikan Aye Aye Naing juga melayan wanita itu dengan baik terhadap dirinya tetapi tertuduh menjadi tertekan serta kecewa dengan warga emas itu yang dikatakan memarahinya kerana tidak membuat kerja dengan carabetul," kata Selene seperti dilaporkan Todayonline.com.
Amah itu mengaku dia menguruskan Ah Guat dengan kasar selama kira-kira tujuh bulan antara lain menarik rambut warga emas itu untuk membuatkannya duduk dan menampar mulutnya.
Aye Aye Naing juga menarik leher Ah Guat untuk memindahkan mangsa dari kerusi roda ke katil.
Ah Guat kemudian mengadu kepada anak perempuannya bahawa Aye Aye Naing memukulnya, namun membohongi majikannya itu dengan mengatakan ibunya terjatuh.
Majikan Aye Aye Naing menerima penjelasannya walaupun berasa ragu dan memasang sebuah kamera CCTV di bilik tidur ibunya. Kamera itu merakamkan empat insiden penderaan selama kira-kira sebulan sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak polis pada 21 Ogos 2020. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram